Tuesday, July 21, 2009

MEMAHAMI PENYUNTINGAN NASKHAH

Salam,

Saya telah dianugerahkan idea dan masa oleh Yang Maha Kuasa untuk menulis dan menerbitkan buku Memahami Penyuntingan Naskhah (Medium Publications, 2008) yang kini sudah dicetak buat kali kedua. Alhamdulillah kerana Perpustakaan Negara Malaysia bermurah hati kerana membeli 1,000 naskhah buku tersebut di bawah program pembelian terus dengan penulis.
Sememangnya kita di Malaysia amat haus dengan bahan bacaan seperti buku tersebut. Kebanyakan kita menggunakan buku dalam bahasa Inggeris yang jumlahnya amat banyak untuk kita mendalami bidang penyuntingan dan keeditoran. Antara buku yang lazim kita sebut ialah Chicago Manual of Style (Chicago Univ Press, 2003, Edisi ke-15) dan The Copyeditors's Handbook oleh Amy Einsohn (California Univ Press, 2005). Sudah tentu kedua-dua buku tersebut amat bernilai kepada kita. Namun kita masih memerlukan buku seperti itu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai latar perbincangannya. Kita mempunyai Gaya Dewan (DBP, 1996) yang harus kita akui amat baik meskipun sudah sampai masanya dibuat edisi yang baharu.

Atas kesedaran akan kurangnya buku sedemikianlah saya menulis buku Memahami Penyuntingan Naskhah itu. Mujurlah saya mengajar kertas penyuntingan dalam program Masters in Publishing Studies di UM dan Masters in Corporate Communications di UPM; dan sudah tentulah kandungan buku itu pun disesuaikan daripada nota kuliah dan latihan yang diberikan kepada para pelajar Sarjana saya itu.

Buku tersebut mengandungi 13 bab, iaitu:

1. Mengenali buku
2. Siapa yang terlibat dalam penerbitan buku?
3. Memahami proses penerbitan
4. Siapakah editor?
5. Tugas dan tanggungjawab editor naskhah
6. Tugas-tugas editorial
7. Bahagian-bahagian buku
8. Penyediaan dan penandaan manuskrip
9. Proses prapenyuntingan naskhah
10. Proses penyuntingan naskhah
11. Memahami pruf
12. Editor dan pembacaan pruf
13. Editor dan undang-undang

Bunyinya macam nak promosikan buku itu kepada anda, tetapi niat utama saya adalah untuk memberitahu anda semua bahawa buku seperti itu sudah ada di pasaran. Cuma mungkin sedikit sukar untuk anda mendapatkannya. Kalau demikian, anda bolehlah menghubungi penerbitnya, Medium Publications atau mengunjungi laman webnya di http://www.mediumpublications.com/.

Sunday, July 19, 2009

Response Anda

1. Gesaan saya untuk kita--insan yang meminati profesion editor--menubuhkan Forum Editor Malaysia (FEM) nampaknya mula mendapat response daripada rakan-rakan sekalian. Kebanyakan rakan yang menghubungi saya di talian 013-3622010 menyatakan sokongan dan dukungan bagi kita membina suatu platform yang dapat kita gunakan untuk manfaat kita bersama.

2. Marilah kita sama-sama menguar-uarkan hal ini kepada rakan-rakan yang seminat dengan kita. Bahawa sudah sampai masanya bagi kita memiliki pentas yang dapat kita gunakan untuk mempertemukan naluri keeditoran kita, kerana dengan langkah pertama itulah minat kita dapat kita bajai dan akhirnya nanti ilmu dan keterampilan akan menjadi buahnya.

3. Buat sementara ini, ajaklah rakan-rakan untuk mengunjungi blog ini bagi kita mengumpulkan tekad dan semangat.

Saturday, July 18, 2009

Penubuhan Ikatan Editor Malaysia

Editor adalah suatu tugas yang profesional. Salah satu ciri profesionalisme seorang editor adalah komitmennya untuk meningkatkan ilmu dalam bidang yang diminatinya itu. Ia mahu menjadi lebih baik dan sentiasa mahu meningkatkan ilmu dan keterampilannya dalam segala hal yang berkaitan dengan tugas keeditorialannya. Justeru editor yang baik harus sentiasa berusaha untuk menambahkan bidang kepakarannya.

Peningkatan ilmu keeditoran mungkin sahaja dapat diperoleh menerusi usaha persendirian editor berkenaan. Ia boleh membaca buku yang berkait dengan bidangnya atau majalah yang berkaitan. Malangnya kita di Malaysia tidak banyak tersedia bahan yang sewajarnya kita nikmati itu. Meskipun ada beberapa buah buku yang dapat kita manfaatkan, kita tidak ada majalah yang dapat kita nikmati setiap keluaran untuk kita mengembangkan minat kita ini. Ya, kita masih boleh mengunjungi laman-laman web yang dapat memberikan kita maklumat yang kita perlukan. Namun disebabkan laman-laman web itu berpangkalan dari Barat, maka perbincangannya adalah berdasarkan realiti negara yang berkenaan.

Sudah tentu kita kita wajar berdiam diri. Sementara kebanyakan kita berbangga kerana kita ini seorang editor--suatu profesion yang murni dan hebat--apakah yang dapat kita lakukan untuk terus mengembangkan bidang ini? Apakah sumbangan kita untuk memberikan pemahaman kepada orang lain yang tidak memahami profesion kita? Apa yang dapat kita lakukan untuk menarik orang lain bersama-sama kita dan seterusnya dapat mengembangkan industri penerbitan di negara ini?

Jawapannya, kita memerlukan sebuah platform untuk bergerak, sebuah persatuan yang dapat kita gunakan untuk mengembangkan profesion kita ini. Dengan adanya persatuan, kita dapat menjalankan pelbagai usaha secara kolektif demi meningkatkan keterampilan kita. Kita boleh mengadakan pertemuan, persidangan, seminar atau apa jua aktiviti yang dapat mempertemukan kita dengan rakan-rakan lain yang seminat dengan kita. Kita juga dapat mengusahakan penerbitan, mungkin majalah atau laman web yang kandungannya dapat memberikan manfaat kepada kita.

Di atas kesedaran itulah saya ingin mengajak rakan-rakan editor sekalian untuk bersama-sama dengan saya bagi kita menubuhkan sebuah persatuan. Oleh sebab nama Persatuan Editor Malaysia telah pun ditubuhkan pada dekad 80-an yang lalu, tetapi tidak aktif, kita mungkin menghadapi kesukaran untuk menghidupkannya; maka saya mencadangkan supaya kita menubuhkan IKATAN EDITOR MALAYSIA. Nama ini sengaja saya pilih kerana di Indonesia sudah ditubuhkan Ikatan Editor Indonesia pada tahun 2006 yang lalu, dan kita boleh membuat kerjasaama dengan mereka secara erat demi menfaat kita bersama.

Silalah menghubungi saya di alamat yang berikut:

Prof. Madya Dr Hamedi Mohd Adnan
Jabatan Pengajian Media
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur.
Tel: 03-79675655/013-3622010 Faks: 03-79675464
Emel: hamedi@um.edu.my

Berilah response anda berhubung hal ini dan buatlah posting di laman blog ini.