Saturday, July 18, 2009

Penubuhan Ikatan Editor Malaysia

Editor adalah suatu tugas yang profesional. Salah satu ciri profesionalisme seorang editor adalah komitmennya untuk meningkatkan ilmu dalam bidang yang diminatinya itu. Ia mahu menjadi lebih baik dan sentiasa mahu meningkatkan ilmu dan keterampilannya dalam segala hal yang berkaitan dengan tugas keeditorialannya. Justeru editor yang baik harus sentiasa berusaha untuk menambahkan bidang kepakarannya.

Peningkatan ilmu keeditoran mungkin sahaja dapat diperoleh menerusi usaha persendirian editor berkenaan. Ia boleh membaca buku yang berkait dengan bidangnya atau majalah yang berkaitan. Malangnya kita di Malaysia tidak banyak tersedia bahan yang sewajarnya kita nikmati itu. Meskipun ada beberapa buah buku yang dapat kita manfaatkan, kita tidak ada majalah yang dapat kita nikmati setiap keluaran untuk kita mengembangkan minat kita ini. Ya, kita masih boleh mengunjungi laman-laman web yang dapat memberikan kita maklumat yang kita perlukan. Namun disebabkan laman-laman web itu berpangkalan dari Barat, maka perbincangannya adalah berdasarkan realiti negara yang berkenaan.

Sudah tentu kita kita wajar berdiam diri. Sementara kebanyakan kita berbangga kerana kita ini seorang editor--suatu profesion yang murni dan hebat--apakah yang dapat kita lakukan untuk terus mengembangkan bidang ini? Apakah sumbangan kita untuk memberikan pemahaman kepada orang lain yang tidak memahami profesion kita? Apa yang dapat kita lakukan untuk menarik orang lain bersama-sama kita dan seterusnya dapat mengembangkan industri penerbitan di negara ini?

Jawapannya, kita memerlukan sebuah platform untuk bergerak, sebuah persatuan yang dapat kita gunakan untuk mengembangkan profesion kita ini. Dengan adanya persatuan, kita dapat menjalankan pelbagai usaha secara kolektif demi meningkatkan keterampilan kita. Kita boleh mengadakan pertemuan, persidangan, seminar atau apa jua aktiviti yang dapat mempertemukan kita dengan rakan-rakan lain yang seminat dengan kita. Kita juga dapat mengusahakan penerbitan, mungkin majalah atau laman web yang kandungannya dapat memberikan manfaat kepada kita.

Di atas kesedaran itulah saya ingin mengajak rakan-rakan editor sekalian untuk bersama-sama dengan saya bagi kita menubuhkan sebuah persatuan. Oleh sebab nama Persatuan Editor Malaysia telah pun ditubuhkan pada dekad 80-an yang lalu, tetapi tidak aktif, kita mungkin menghadapi kesukaran untuk menghidupkannya; maka saya mencadangkan supaya kita menubuhkan IKATAN EDITOR MALAYSIA. Nama ini sengaja saya pilih kerana di Indonesia sudah ditubuhkan Ikatan Editor Indonesia pada tahun 2006 yang lalu, dan kita boleh membuat kerjasaama dengan mereka secara erat demi menfaat kita bersama.

Silalah menghubungi saya di alamat yang berikut:

Prof. Madya Dr Hamedi Mohd Adnan
Jabatan Pengajian Media
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur.
Tel: 03-79675655/013-3622010 Faks: 03-79675464
Emel: hamedi@um.edu.my

Berilah response anda berhubung hal ini dan buatlah posting di laman blog ini.

6 comments:

HASRI HASAN said...

saya menyokong penuh usaha penubuhan Ikatan Editor Malaysia, sudah tiba masanya para editor dan pengamal penerbitan di negara ini memerlukan satu platform yang sesuai bagi mereka.

Citra Wangsa said...

Saya menyokong penuh usaha ini. Perlu disebarluaskan di seluruh negara. Peranan editor sgt penting dlm usaha penerbitan buku. Tapi orang tak nampak, sebab kita bekerja di belakang tabir. Bila buku siap, dan mendapat anugerah drpd pihak2 tertentu, penulis yang disanjung tinggi. Editor dapat apa? Dapat pahala? Tumpang gembira je le...

Hamedi M. Adnan said...

Thanks Hasri & Zura. Insya-Allah kita akan usahakan pendaftarannya. Pada masa yang sama, tolonglah uar-uarkan kepada rakan-rakan.

dibpenang said...

saya juga menyokong usaha ini, dan berharap agar ikatan penerbit ini akan dapat direalisasikan dan byk program dapat dijalankan. Setidak-tidaknya usaha dr menyediakanblog editor ini harus dipuji.
saya bergharap dr dapat uploadkan data2 penting dalam penerbitan di forum ini.

dibpenang said...

apakah yang dimaksudkan dengan subsidiary right dan jenis2nya???

Unknown said...

Assalamualaikum...saya amat menyokong usaha en Hamedi menubuhkan Ikatan Editor Malaysia..Ikatan ini dapat menjadi platform kpd semua yang baru berjinak-jinak dlm bidang editorial di luar sana utk menimba pengetahuan & meningkatkan kemahiran dlm editing..semoga Allah SWT memudahkan usaha en Hamedi.amin.